SHAH ALAM: Koperasi Wawasan Malaysia Bhd (KOWAMAS) mengembangkan sayap pelaburan dalam bidang hartanah bagi memacu pendapatan koperasi yang beroperasi sejak 1996.

Permintaan tinggi terhadap pasaran hartanah menjadi faktor koperasi Bumiputera berdaftar itu menceburi bidang berkenaan dengan tumpuan kepada perumahan dan bangunan perniagaan di kawasan strategik.
Pengerusi KOWAMAS, Datuk Mohamed Farid Zawawi, berkata KOWAMAS dijangka merintis kejayaan pertama bidang itu apabila dua projek pembangunan di Kota Bharu bernilai RM31 juta siap menjelang 2012.

"Kedua-dua projek itu akan dilaksanakan sedikit masa lagi membabitkan pembinaan Dataran KOWAMAS, projek pembangunan komersial 10 unit kedai dan pangsapuri kos sederhana," katanya pada majlis penyampaian hadiah cabutan bertuah Cerianya Raya Bersama e-wawasan, di sini, baru-baru ini.

Seramai 16 pemenang membawa pulang hadiah sebuah Perodua Myvi, enam motosikal Modenas, lima TV LCD dan empat pakej umrah berjumlah RM166,000.

Pemenang hadiah utama, Foziah Rossly, menyifatkan kereta yang diperoleh tidak pernah diimpikan, malah tidak menyangka walaupun masih baru menjadi ahli KOWAMAS, sudah dipilih memenangi sesuatu yang agak lumayan.

Pemenang adalah peminjam melalui skim pinjaman peribadi e-wawasan yang diperkenalkan Kowamas kepada ahli terdiri daripada kakitangan kerajaan dan badan berkanun.
Mohamed Farid berkata, walaupun pelaburan dilakukan membabitkan kos agak besar, pihak pengurusan komited mampu memberikan pulangan dividen 30 peratus kepada ahli yang kini berjumlah hampir 10,000.

"Dengan pasaran hartanah di Malaysia terus berkembang, koperasi yakin pelaburan dalam sektor ini dapat meningkatkan perolehan syarikat dan menjana pendapatan ahli.

"Koperasi juga yakin pulangan dividen 30 peratus yang diberikan sejak 2008 mampu dikekalkan dan tidak mustahil akan meningkat," katanya.

Kemampuan pembayaran bersandarkan pertumbuhan 100 peratus dicatatkan KOWAMAS sejak 2008, di samping strategi ampuh koperasi dalam mengembangkan cabang perniagaan ke pelbagai bidang berpotensi.

Apa pun, kata Mohamed Farid, koperasi masih menumpukan kepada produk terasnya iaitu pembiayaan peribadi yang mencatatkan peningkatan memberangsangkan dengan jumlah nilai mencecah hampir RM457 juta.