Utusan Malaysia Online
PETALING JAYA 28 Julai - Lebih 7,000 koperasi di negara ini
memerlukan bantuan pembiayaan dalam bentuk tabung pusingan modal
sekurang-kurangnya RM10 bilion daripada kerajaan dalam tempoh lima tahun
akan datang.
Berdasarkan jumlah tersebut, purata pembiayaan kewangan bagi setiap
koperasi di negara ini adalah kira-kira RM1.4 juta untuk menyokong
pertumbuhannya.
Pengarah Eksekutif Koperasi Wawasan Malaysia Bhd. (Kowamas), Datuk Mohamed Farid Zawawi (gambar) berkata, jumlah pembiayaan keseluruhan berkenaan berupaya menampung keperluan kewangan koperasi-koperasi tempatan.
Malah, katanya, pembiayaan yang tinggi merupakan salah satu faktor
untuk koperasi tumbuh dan berkembang dengan lebih pantas di negara ini.
"Kita mahu lebih banyak koperasi berdaya saing di negara ini dan berkembang pesat seperti di negara-negara Eropah,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Ibu Pejabat Komawas di sini hari ini.
Beberapa contoh koperasi yang ditadbir urus dengan baik di dunia adalah di Sweden, Denmark, Sepanyol dan Jepun.
Kowamas ditubuhkan pada 1996 bermula daripada sebuah koperasi yang
kecil dengan 100 orang ahli untuk menjaga kebajikan pekerja sebuah
ladang di Kuala Krai, Kelantan.
Kini, Kowamas mempunyai empat teras perniagaan iaitu pembiayaan peribadi, pajak gadai Ar-Rahnu, kedai pengguna dan hartanah.
Koperasi itu telah melancarkan produk pembiayaan peribadi pertamanya
berlandaskan konsep syariah iaitu e-Wawasan dengan kerjasama Malayan
Banking Bhd. (Maybank) pada Ogos 2008 yang lalu.
Mohamed Farid menambah, kerajaan perlu serius membantu
koperasi-koperasi dalam pembiayaan kewangan bagi memastikan entiti itu
terus berkembang.
Katanya, bantuan dan sokongan itu diibarat sebagai satu pelaburan jangka panjang kerajaan yang akan dituai pada masa depan.
Ketika ditanya jumlah koperasi aktif di negara ini, Mohamed Farid
memberitahu, hanya 500 koperasi tempatan berada pada peringkat pertama
pencapaian atau kedudukan yang baik sementara 1,000 lagi di peringkat
kedua atau memuaskan dan berpotensi untuk berkembang.
Katanya, bakinya sebanyak 5,500 koperasi tidak aktif.
''Sekiranya sebahagian besar koperasi ini berada di peringkat kedua, maka banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan,'' katanya.
Ditanya peratusan sumbangan koperasi kepada Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK), Mohamed Farid menambah, sumbangannya kurang dari satu
peratus berbanding negara-negara Eropah sebanyak 10 peratus.
No comments:
Post a Comment